KUALA LUMPUR 19 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara)
menerusi aspek pendidikannya akan terus membuka peluang kerjasama
dengan institusi pengajian tinggi ternama di luar negara bagi memastikan
kecemerlangan para pelajarnya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie
Apdal berkata, untuk itu semua institusi-institusi pendidikan di bawah
Mara tidak boleh meletakkan batasan dalam kalangan pelajarnya untuk
meneruskan pengajian di luar negara.
Contohnya, ujar beliau, Mara telah memberi peluang kepada sembilan
pelajar melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Cambridge berikutan
hasil kerjasama yang berjaya diwujudkan sejak tahun lalu.
"Selain itu, usaha beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Mara mengendalikan program pembelajaran International Baccalaureate
(IB) membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara," katanya
pada majlis sambutan Hari Pendidik Mara 2012 di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.
Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Mara, Datuk Mohd. Mydin Mohd.
Sheriff dipilih sebagai tokoh pendidik Mara 2012 sebagai menghargai
jasanya dalam membantu pendidikan Mara terus cemerlang sehingga hari
ini.
Mohd. Shafie berkata, Mara kini semakin berpuas hati dengan
pencapaian pendidikannya terutama apabila sasaran kerajaan melihat
pendidikan di kalangan bumiputera meningkat bakal terlaksana sejajar
dengan agenda kerajaan menjelang 2020.
No comments:
Post a Comment