Kesatuan mahu kenaikan Gred DGA32 kepada DGA34 dikaji
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu
kerajaan menyemak semula kenaikan pangkat daripada Gred DGA32 kepada DGA34
membabitkan kira-kira 10,000 guru kanan yang bertugas melebihi 10 tahun.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata perkara ini perlu diperhalusi
kementerian Pelajaran bagi memastikan guru yang sudah lama bertugas dapat
menikmati kenaikan pangkat setimpal dengan perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, langkah kerajaan
memendekkan tempoh kenaikan pangkat daripada gred DGA32 kepada DGA34 daripada
10 tahun kepada lapan tahun mengundang sedikit rasa kurang senang di kalangan
guru kanan.
“Dulu kenaikan pangkat daripada DGA32
kepada DGA34 bagi lepasan diploma dan DG41 kepada DG44 bagi lepasan ijazah
mengambil masa 10 tahun, tetapi kini dikurangkan kepada lapan tahun.
“Ini menjadikan guru baru melalui
proses kenaikan yang cepat berbanding guru lama sedangkan guru yang bertugas
sekitar 10 ke 15 tahun baru mendapat kenaikan daripada gred DGA32 kepada DGA34.
Ini membuatkan sebilangan mereka tidak puas hati. Jadi saya rasa perkara ini
perlu diberi perhatian bagi memastikan semua pihak gembira.
“Jadi NUTP mencadangkan guru kanan yang
sudah bertugas lebih 15 tahun ini diberi kenaikan gaji setiap tiga tahun
selepas mereka dinaikkan gred,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kenaikan
pangkat kira-kira 24,053 guru selepas memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai
Jun ini, membabitkan 15,831 guru lepas diploma dan 8,222 guru lepasan siswazah.
Keputusan kerajaan itu menyaksikan guru
lepasan diploma hanya memerlukan lapan tahun untuk naik dari DGA29 kepada
DGA32, lapan tahun dari DGA32 kepada DGA34 dan lima tahun dari DGA34 kepada
DGA38.
Hashim berkata, adalah tidak adil bagi
guru yang sudah sekian lama bertugas menikmati kenaikan seperti mana guru baru
dan perkara ini seharusnya mendapat perhatian serius kerajaan.
“Ada guru kanan ini terpaksa mengambil
masa lebih 10 tahun ini naik dari gred DGA29 kepada DGA32, sudah tentu ini akan
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka jika angka gaji mereka sama
dengan guru baru, lagi pun kebanyakan guru ini juga sudah hampir tempoh
bersara,” katanya.
No comments:
Post a Comment