IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun didakwa dilibas
dengan rotan di kepala oleh gurunya menyebabkan kanak-kanak itu trauma
dan enggan ke sekolah tadika berhampiran rumahnya di Taman Canning di
sini.
Dalam kejadian pada 18 Jun lalu, bapa kanak-kanak, Khoo Kian Heng, 35
terkejut apabila mangsa, Eswin Khoo Mun Jun mengadu sakit di bahagian
kepala selepas pulang dari sekolah.
Menurutnya, dia tidak menyangka guru wanita berkenaan tergamak
memukul anaknya di bahagian kepala hanya kerana tidak memberi tumpuan
dalam kelas.
“Kejadian itu disahkan benar oleh guru berkenaan di hadapan guru
besar pada keesokan harinya. Dia mengaku menggunakan rotan untuk memukul
kepalanya.
“Saya mengaku anak saya sedikit nakal namun, guru berkenaan tidak
patut memukul anak saya di kepala kerana ia mungkin menyebabkan
kecederaan lebih serius termasuk menjejaskan saraf otak serta
menyebabkan dia bersikap negatif terhadap sekolah.
“Saya tidak kisah anak saya dipukul termasuk di rotan di tangan
sekiranya dia nakal tapi bukanlah di kepala,” katanya ketika ditemui
selepas membuat aduan di Pusat Khidmat Adun Bercham di sini, semalam.
Kian Heng berkata, guru besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu
namun masih tiada tindakan diambil terhadap guru berkenaan menyebabkan
dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Kampung Simee di sini,
Jumaat lalu.
“Pihak sekolah masih mendiamkan diri sehingga lebih dua minggu dan
baru-baru ini pihak sekolah memberitahu bahawa saya tidak mempunyai
bukti untuk mengambil tindakan.
“Sebelum itu, surat aduan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran
Negeri dan berharap pihak jabatan dapat mengambil tindakan sewajarnya
terhadap guru yang disifatkan sebagai melampau terhadap kanak-kanak
kecil,” katanya.
Katanya, guru berkenaan masih mengenakan denda terhadap anaknya
dengan tidak membenarkan anaknya ke tandas sehingga waktu pelajarannya
tamat, kelmarin.
Sementara itu, pihak pengurusan sekolah mengesahkan kejadian itu
namun, tidak dapat memberi kenyataan penuh kerana menyerahkan kepada
pihak pengurusan tertinggi membuat keputusan.
Katanya, pihak sekolah telah mengarahkan semua guru supaya tidak
menggunakan pendekatan kekerasan kepada murid selain memberi amaran
sekiranya membuat sebarang kesalahan.
No comments:
Post a Comment