SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka, Maran berjaya 
menewaskan sembilan sekolah yang lain untuk muncul juara dalam 
pertandingan akhir Bicara Berirama 2012 Pergerakan Puteri Islam Malaysia
 (PPIM) peringkat kebangsaan di sekolah itu, baru-baru ini.
Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Pahang, Tengku Tan Sri 
Meriam Sultan Ahmad Shah berkata, Pertandingan Bicara Berirama merupakan
 satu persembahan bahasa puisi atau prosa yang disampaikan dalam bentuk 
kumpulan membabitkan pelbagai bentuk suara individu yang disatukan untuk
 menyampaikan mesej tertentu.
"Pertandingan peringkat kebangsaan ini secara langsung dapat menjalin
 hubungan silaturahim dan perpaduan antara ahli-ahli PPIM dari seluruh 
negara berteraskan konsep 1Malaysia," katanya ketika berucap di majlis 
perasmian pertandingan itu di Maran, Pahang baru-baru ini.
Sebanyak sepuluh buah sekolah menengah dari seluruh negara yang mewakili negeri masing-masing menyertai pertandingan ini.
Juara membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan. 
Naib Juara yang disandang oleh SMK (A) Syarifah Rodziah, Melaka menerima
 wang tunai RM700, trofi dan sijil penyertaan. 
Manakala tempat ketiga pula menjadi milik gabungan Sekolah-Sekolah 
Daerah Raub dengan hadiah wang tunai RM500, trofi dan sijil penyertaan.
Sekolah lain yang bertanding di peringkat akhir ialah SMK Zainab 1, 
Kota Bharu, Kelantan; SMK Agama Kangar, Perlis; Sekolah Berasrama Penuh 
Integrasi (SBPI) Gopeng, Perak; SBPI Gombak, Sungai Pusu, Selangor; 
Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka; SMK Datuk Syed Isa, Batu 
Pahat, Johor; dan SMK Ahmad, Pekan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Hadir sama Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli 
Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pegawai 
Daerah Maran, Datuk Fadzilla Saleh; Yang Dipertua PPIM Kebangsaan, Datin
 Sri Shamsiah Mohd Yatim, dan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Baharum 
Samad.


No comments:
Post a Comment