KUALA LUMPUR 11 Julai - Datuk Seri Najib Tun
Razak berkata, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan
secara serta-merta semua akta baru serta memansuhkan Akta Hasutan 1948
dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai
Akta Keharmonian Nasional.
Selain itu, kata Perdana Menteri, turut dikuatkuasakan serta-merta
adalah pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Beliau berkata, keputusan tersebut adalah untuk melengkapkan fasa pertama Program Transformasi Politik (PTP).
Menurutnya, kerajaan sedar umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai
alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak
sealiran dengan kerajaan.
''Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita
perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu,
peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menghalang rakyat untuk
mengkritik kerajaan dan pentadbiran keadilan.
''Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh
pihak Kehakiman melalui peruntukan-peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah
Mahkamah yang sedia ada,'' katanya semasa berucap pada Majlis Makan
Malam Jabatan Peguam Negara di sini malam ini.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa kebebasan bercakap dan
bersuara hendaklah sentiasa diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan
keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam.
Katanya, sebagaimana negara-negara lain yang menjunjung prinsip
Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara
bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak sebaliknya dibatasi
dengan sekatan-sekatan yang sewajarnya.
''Begitu juga di Malaysia. Kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada
sekatan-sekatan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Perlembagaan
Persekutuan yang dirasakan amat perlu apatah lagi dalam suasana
kemajmukan masyarakat Malaysia yang unik dan rumit sifatnya,'' kata
beliau.
Najib berkata, kerajaan akan tetap memastikan peruntukan-peruntukan
baru ini tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani perbuatan dan
perlakuan yang berikut:
(i) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan
perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
(ii) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan
(iii) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan
atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh
peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan
Persekutuan.
Najib berkata, sebelum menggubal Rang Undang-undang Keharmonian
Nasional ini, kerajaan ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat
Malaysia sama ada individu mahupun pertubuhan mengenai perkara yang
perlu ditangani dalam merangka perundangan ini.
''Keputusan menggantikan Akta Hasutan dibuat kerana kita mahu mencari
mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik di antara
keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara sesuai dan
selaras dengan peruntukan dan jaminan yang terkandung di dalam
Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk menangani kompleksiti
kemajmukan yang wujud di negara ini.
''Tanpa keseimbangan yang ideal kita berkemungkinan merencatkan hak
bersuara yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta
sifat inovatif ataupun membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis,''
katanya.
Menurut beliau, keseimbangan ini perlu dicapai dalam persekitaran
masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada lebuh raya maklumat
yang mampu menyebabkan 'limpahan maklumat', taraf pendidikan dan
sosioekonomi yang semakin tinggi serta tahap jangkaan yang semakin
meningkat.
''Peruntukan-peruntukan baru yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian
Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni
dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa
dan agama,'' katanya.
Kata Perdana Menteri, peruntukan-peruntukan akta baru ini akan
mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk mempertahankan semua agama dan
semua kaum yang membentuk negara bangsa Malaysia daripada perbuatan
mereka yang tidak bertanggungjawab.
''Akta baru ini akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kita
bertindak terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk
memecah-belahkan perpaduan nasional,'' katanya.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi
yang bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua 'pemegang
saham'.
''Perbuatan adu domba seumpama ini akan dianggap sebagai satu jenayah
terhadap rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersikap
bahawa jika ada mana-mana kaum mahupun agama disakiti maka seolah-olah
semua kaum dan semua agama rakyat Malaysia sama-sama disakiti, bak kata
pepatah Melayu cubit paha kanan maka paha kiri akan terasa,'' katanya.
No comments:
Post a Comment