Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
1. TUJUAN
Panduan ini dihasilkan untuk membantu seluruh
warga BPSH mewujudkan persekitaran kerja yang cemerlang dan berkualiti melalui
pelaksanaan amalan persekitaran berkualiti 5S.
2. PENGENALAN
Sehingga hari ini, pelbagai usaha telah dilakukan
untuk mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan seperti Manual Prosedur
Kerja, Fail Meja, Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001, Piagam Pelanggan,
Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan sebagainya. Seiring dengan usaha-usaha
ke arah transformasi perkhidmatan awam, pemantapan pengurusan
persekitaran tempat kerja kearah meningkatkan imej dan profesionalisme
organisasi perlu dilaksanakan.
Pengurusan persekitaran tempat kerja yang lebih
seragam dan sistematik berdasarkan Pelaksanaan Amalan 5S merupakan satu
pendekatan yang diterima dan dipraktikkan secara universal.
Pelaksanaan Amalan 5S dapat membantu BPSH merancang dan melaksanakan
usaha-usaha menghasilkan persekitaran tempat kerja yang kondusif bagi
meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
3. OBJEKTIF PELAKSANAAN AMALAN 5S
- Mewujudkan tempat kerja yang bersih, kemas dan sistematik untuk keselesaan warga BPSH
- Meningkatkan kerjasama antara warga BPSH dalam melaksanakan tugasan harian
- Mewujudkan disiplin yang tinggi dan berhemah dalam kalangan warga BPSH
- Memastikan keselamatan di tempat kerja untuk setiap warga BPSH
- Meningkatkan mutu perkhidmatan kerja melalui penerapan budaya kaizen
4. POLISI AMALAN 5S
Memastikan amalan 5S dilaksanakan secara berterusan
melalui budaya kerja sepasukan dan berdisiplin dengan mengutamakan kebersihan,
kekemasan, keselesaan dan keselamatan di tempat kerja.
5. LOGO 5S
6. SLOGAN 5S
“5S Pemangkin Budaya Kerja Berkualiti”
7. FAEDAH PELAKSANAAN AMALAN 5S
Antara faedah pelaksanaan amalan persekitaran
berkualiti 5S adalah seperti berikut:
a. Peningkatan Produktiviti
Pelaksanaan 5S membantu meningkatkan produktiviti
di mana dokumen/ bahan dapat dikesan dengan mudah dan cepat. Apabila masa
untuk mengesan dokumen/ bahan dapat dikurangkan, bilangan dokumen/ bahan yang
diproses dapat dipertingkatkan. Hasilnya lebih banyak tugasan dan urusan
dapat dilakukan dalam masa yang sama.
b. Peningkatan Tahap Pengurusan Penyelenggaraan
Dalam pelaksanaan 5S, semua peralatan/ mesin perlu
diselenggara dengan baik, diletakkan di tempat yang ditetapkan dan sentiasa memastikan
ia bersih daripada habuk dan kekotoran. Justeru itu, kos penyelenggaraan
dan kerosakan dapat dikurangkan. Peralatan/ mesin yang diselenggara dan
disusun dengan baik mampu meningkatkan tahap keselamatan pekerja.
c. Peningkatan Perkhidmatan Kepada Pelanggan
Pelaksanaan 5S memastikan urusan di tempat kerja
dapat dilaksanakan dengan lebih terurus, mudah, pantas dan selamat.
Pelanggan akan merasa puas hati apabila diberi layanan yang mesra, cepat dan
dapat serta menyelesaikan urusan dengan lancar. Perkhidmatan yang
disampaikan kepada pelanggan luar khasnya melalui kaunter juga akan disampaikan
dengan lebih cekap dan berkesan. Setiap pelanggan yang datang berurusan
akan merasa gembira dengan perkhidmatan yang diterima.
d. Suasana Tempat Kerja
Pelaksanaan 5S akan dapat mewujudkan suasana
persekitaran tempat kerja yang bersih, kemas, ceria dan selamat. Amalan
5S mengharuskan organisasi menyusun dokumen dan peralatan dengan kemas dan
tersusun. Selain itu, ruang tempat kerja dapat digunakan secara optimum
dan memperlihatkan imej korporat. Ini dapat meningkatkan imej organisasi
di mata pelanggan.
e. Penjimatan Kos
Pelaksanaan 5S menitikberatkan kaedah penyusunan
barangan mengikut kriteria tertentu. Bagi barangan yang mempunyai tarikh
luput, ia disusun mengikut kaedah “Masuk Dahulu, Keluar Dahulu”. Kaedah
ini akan memudahkan pekerja mengenalpasti dan menggunakan barang yang mempunyai
tarikh luput yang lebih awal bagi mengelakkan pembaziran akibat pelupusan
barangan yang tamat tempoh.
f. Peningkatan Kreativiti dan Inovasi
Aktiviti menyusun barangan/ bahan yang digunakan di
pejabat akan menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pekerja.
Cara menyusun secara kemas, teratur dan mudah diambil dengan cepat apabila diperlukan
akan menggalakkan pekerja berfikir secara kreatif bagi menghasilkan idea
menyusun dan menyimpan secara inovatif.
g. Peningkatan Tahap Keselamatan
Pelaksanaan 5S akan meningkatkan tahap keselamatan
persekitaran pejabat dan keselamatan dokumen/bahan. Penyusunan
dokumen/bahan ditempatnya dengan teratur dan berlabel dapat mengelakkan
berlakunya kemalangan di tempat kerja.
h. Peningkatan Semangat Kerja Sepasukan
Pelaksanaan 5S akan mewujudkan semangat bekerjasama
sepasukan dalam kalangan pekerja. Pelaksanaan ini hanya akan berjaya
dengan penglibatan semua warga organisasi dalam melaksanakan setiap aktiviti
secara berterusan. Ia akan mewujudkan satu budaya kerja sepasukan yang
mantap dalam organisasi
8. KONSEP 5S
5S merujuk kepada singkatan perkataan Sisih, Susun,
Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal. Melalui amalan ini, tempat kerja menjadi
lebih teratur, tersusun dan selesa sepanjang masa. Ini akan menjadikan
pekerja lebih produktif dan cekap dalam menyumbang kepada kecemerlangan
organisasi.
No comments:
Post a Comment