SAYA menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu subjek Sejarah wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 2013. Ini adalah rentetan yang pernah disuarakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya subjek Sejarah diwajibkan di sekolah rendah. Profesor Madya Dr. Shakila Yacob pula mencadangkan agar diambil satu pendekatan bersepadu dengan merombak atau menggantikan mata pelajaran Sivik dan Kajian Tempatan dengan pengajian sosial yang mengkaji masyarakat termasuk sejarah, sivik, geografi dan ekonomi. Dengan itu pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan menggantikan KBSR yang akan menjadikan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah pada tahun 2014.
Kepentingan subjek itu seharusnya mempunyai kesinambungan dari peringkat rendah hingga peringkat menengah dengan pelaksanaan yang lebih efektif. Justeru, subjek Sejarah perlu diberi tempat yang setaraf dengan bahasa Melayu. Dengan itu, ia bukan sahaja menjadi subjek teras tetapi sekurang-kurangnya perlu lulus untuk mendapat sijil SPM. Sekiranya, salah satu tidak lulus maka pelajar tidak layak mendapat sijil SPM.
Keduanya, ia menjadi syarat penting ataupun perlu kredit dalam SPM untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, malahan diambil kira dalam permohonan ke jawatan Perkhidmatan Awam. Walaupun cadangan ini mungkin menimbulkan bantahan, tetapi kita harus melihat kepentingannya kepada negara. Kita harus sedar pembelajaran sejarah bukan hanya penghafalan fakta semata-mata tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Menurut Dr. Shakila, sejarah dapat membangunkan common values dalam usaha melahirkan identiti bersama (shared identity) yang dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu sebagaimana matlamat wawasan 2020. Oleh itu, kefahaman sejarah boleh membantu pelajar menganalisis dan memahami perkembangan kontemporari atau politik masa kini, ideologi dan identiti sesuatu masyarakat.
Melalui pembelajaran Sejarah, kita berupaya membina integrasi nasional menerusi pemahaman murid mengenai sejarah dan tamadun bangsa.
Saya kemukakan tiga kepentingan pembelajaran sejarah, pertamanya memahami latar belakang negara. Ini termasuklah Perlembagaan, pembinaan sistem politik, sistem beraja, struktur kaum, agama, sosial budaya, bahasa dan sebagainya. Keduanya, menghormati hak setiap warganegara, terutamanya pemahaman kontrak sosial yang membawa kepada situasi menang-menang, contohnya orang Melayu mendapat hak istimewa tetapi kaum lain mendapat kerakyatan dan hak sebagai warganegara.
Ketiganya, rasionalisasi hubungan antara kaum. Maklumat dan fakta yang dipelajari dalam sejarah boleh mewujudkan pemikiran yang rasional antara kaum. Ini kerana sekiranya kita faham hak sebagai warganegara dan hak yang dijamin dalam Perlembagaan, maka kita tidak perlu rasa curiga antara kaum. Ini amat penting kerana sejak kebelakangan ini, ada pihak yang mula membangkitkan isu sensitif dan berunsur perkauman.
Kemelut ini membawa kepada peringatan dalam Mesyuarat Majlis-Majlis Raja Ke-215 yang menjamin hak istimewa Melayu dan hak sah kaum lain seperti yang terkandung dalam perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Malahan dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke- 61 juga ditegaskan kepentingan pemahaman Perlembagaan Negara.
Rumusannya, saya tertarik dengan pandangan Prof. Datuk Shamsul Amri Baharudin dalam ulasannya mengenai peringatan Majlis-Majlis Raja, pentingnya dialog berterusan kerana rakyat Malaysia lebih suka tongue wagging not parang wielding, lebih suka bertikam lidah daripada berparang.
Justeru kefahaman sejarah dengan mendalam mampu melahirkan pelajar yang bukan menghafal semata-mata, tetapi mampu mencari kebenaran, berfikir dengan hujah yang konkrit dan rasional dalam pemikiran dan tindakan.
Sekiranya falsafah ini dapat diterap kepada pelajar, tentu kepelbagaian dan perbezaan yang wujud mampu menjadikan Malaysia sebagai bangsa yang hebat dan berjaya di dunia. Saya penuh yakin untuk membina negara bangsa Malaysia yang bersatu, pendidikan merupakan asas yang paling penting untuk melahirkan generasi yang bertoleransi, bekerjasama, saling memahami, hormat-menghormati dan rasa milik bersama dalam sebuah negara.
Ini adalah kerana secara pastinya selama 11 tahun pelajar berada di sekolah rendah dan menengah, kemudiannya menyambung lagi pengajian di peringkat diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran. Begitulah banyak masa untuk membina modal insan, sebelum bekerja di pasaran sama ada swasta, politik, kerajaan dan sebagainya.
Oleh itu, segala ilmu yang diberikan kepada pelajar seharusnya dapat membina identiti negara bangsa Malaysia. Seterusnya menanam rasa cinta terhadap negara dengan penuh ikhlas kerana inilah bumi kita berpijak dan merupakan tempat yang kita mencari rezeki dan nikmat keamanan.
Maka, wajarlah subjek Sejarah dimartabatkan bagi membina negara bangsa Malaysia yang kuat dan berdaya saing di peringkat global.
Ahmad Fadzil Mat Min
Bahau, Negeri Sembilan
Thursday, October 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment