PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi taklimat mengenai operasi Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) di Presint 16, di sini, kepada isteri Perdana Menteri India, Gursharan Kaur, semalam.
Gursharan meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat sekitar Pusat PERMATA berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi membantu perkembangan kanak-kanak.
Gursharan berada di negara ini kerana mengiringi suaminya, Manmohan Singh yang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.
Pusat PERMATA yang beroperasi sejak 1 Mac 2010 itu kini menempatkan 41 kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun.
Sementara itu, pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Tengah hari, di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini, Gursharan memuji penubuhan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) yang disifatkan berperanan aktif membantu rakyat terutama menerusi skim perubatan dan bantuan pendidikan dalam misi keamanan sejagat.
“Sebagai kunjungan pertama ke Malaysia, integriti budaya, adat resam dan keamanan yang dikecapi rakyat negara ini mengagumkan dan saya akan merinduinya. Di India, isteri pemimpin tiada peluang untuk menjalankan tanggungjawab bersosial dan menyumbangkan bakti kegiatan seumpama ini, ” katanya.
Hadir sama, Rosmah, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Rosmah berkata, beliau gembira di atas kunjungan Gursharan dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-India kerana ia penting bagi mengukuhkan jalinan kerjasama yang dibentuk antara dua pemimpin, kerajaan dan negara masing-masing.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment