PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperuntukkan kira-kira RM15 juta untuk program pembangunan modal insan membabitkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 1999.
Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata tahun ini program tanggungjawab sosial korporat itu diteruskan dengan pemberian Anugerah Biasiswa Perodua kepada sembilan pelajar universiti, Program Latihan Remaja Perodua (PYTP) bagi 52 lepasan sekolah serta Latihan Pengurusan Pelatih Perodua membabitkan 15 graduan.
Aminar Rashid berkata peruntukan RM360,000 bagi Anugerah Biasiswa Perodua tahun ini diterima pelajar universiti tempatan yang mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk perniagaan, pemasaran, komunikasi massa, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengajian sastera dan sains sosial, kewangan dan perakaunan.
Beliau berkata, peserta PYTP pula dipilih dalam kalangan lepasan sekolah yang kurang cemerlang akademik tetapi mempunyai minat dalam bidang automotif untuk mengikuti kursus bidang Mekanik Kenderaan Motor, Pemasangan Enjin Automotif dan Penyemburan Cat Automotif.
Selain latihan percuma, katanya, peserta juga diberi kemudahan penginapan, pengangkutan dan elaun bulanan sepanjang enam bulan mengikuti kursus berkenaan.
Latihan Pengurusan Pelatih Perodua yang dilaksana sejak 2003, katanya, membolehkan lepasan universiti menimba pengalaman serta ditawarkan pekerjaan di syarikat automotif itu jika menunjukkan prestasi cemerlang.
“Kami berpuas hati dengan prestasi peserta setakat ini dan berharap mereka akan terus memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk menimba sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalaman.
“Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen Perodua terhadap agenda pembangunan modal insan dalam usaha mewujudkan tenaga kerja dinamik dan berkualiti sejajar moto syarikat, ‘Building Cars, People First’,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Perodua di Rawang, baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.
Sementara itu, salah seorang penerima Anugerah Biasiswa Perodua, Mohamad Shahidan Daud, 19, menyifatkan penerimaan pembiayaan pengajian itu kejayaan berganda kerana sekali gus mendapat jaminan pekerjaan di syarikat automotif dikaguminya.
“Sebagai penerima biasiswa, kami diwajibkan berkhidmat dengan Perodua sekurang-kurangnya lima tahun dan saya memang bercita-cita membina kerjaya di syarikat ini kerana reputasinya yang kukuh,” kata pelajar Kejuruteraan Mekanikal Automotif Universiti Teknologi Malaysia itu.
Bagi peserta Latihan Pengurusan Pelatih Perodua, Mohd Haziq Mohd Yunos, pula program diikuti adalah pengalaman berharga sebagai persiapan memulakan kerjaya dalam bidang automotif kelak.
“Baru sebulan menjalani program ini dan saya ditempatkan di pusat servis sebagai mekanik. Pendedahan dari peringkat bawah ini penting bagi saya memahami keperluan dan masalah mekanik supaya lebih mudah berkomunikasi dengan mereka apabila menjadi penyelia kelak,” kata graduan kejuruteraan mekanikal Universiti Teknologi MARA itu.
Lulusan SPM dari Terengganu, Mohamad Wazini Mohd Razab, pula bersyukur dapat mengikuti PYTP dan berharap ia memudahkan laluan baginya berkhidmat di Perodua.
“Saya berminat dalam bidang automotif sejak sekolah dan pernah berjaya membetulkan enjin van bapa. Antara perkara baru dipelajari menerusi program ini adalah kaedah pemasangan enjin yang betul,” katanya.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment