UKM, COMSATS tandatangani memorandum persefahaman
WARGA pendidik bertanggungjawab membantu kerajaan memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat bagi penjagaan alam sekitar secara lestari.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Tan Sri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata wajar jika maklumat serta pengetahuan seumpama itu dapat dimanfaatkan semua pihak.
Beliau berkata, bagi menjayakan usaha itu, penyelidik UKM sudah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi hijau selain menyebarkan maklumat berkenaan kepada umum dari semasa ke semasa.
Katanya, R&D berkaitan yang kini rancak dijalankan antaranya pelaksanaan seni bina lestari menerusi rekaan bangunan mesra alam, binaan rumah solar dan rekaan sistem pendingin hawa berasaskan udara.
“UKM ingin bersama-sama dengan industri untuk memartabatkan teknologi ini dan mengharapkan komitmen semua pihak.
“Sokongan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga diharapkan bagi menjayakan penyelidikan berkaitan,” katanya.
Sharifah Habsah berkata demikian pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan Suruhanjaya Sains dan Teknologi Pembangunan Mampan di Selatan, Pakistan (COMSATS), yang disaksikan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnnity Ongkili di Bangi, baru-baru ini.
Pada MoU itu, UKM diwakili Sharifah Hapsah manakala COMSATS diwakili Pengarah Eksekutifnya Dr Imtinan Elahi Qureshi.
Sempena majlis itu juga, hadirin dari COMSATS dibawa melawat Taman Inovasi Teknologi Hijau yang menempatkan hasil penyelidikan warga akademik UKM mengenai teknologi hijau.
Sharifah Habsah berkata, penubuhan taman atas inisiatif Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) UKM itu menjadi penanda aras dan rujukan kemajuan teknologi hijau negara. Penubuhan taman ini juga mencerminkan kesungguhan UKM dalam menyokong teknologi berkenaan.
Usaha murni itu kata beliau, juga antara sokongan kepada kerajaan seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark, tahun lalu bagi mengurangkan pembebasan karbon di negara ini pada kadar 40 peratus menjelang 2020.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment