Profesor
Dr. Haji Hussein bin Haji Ahmad dilahirkan di Kluang, Johor pada 5 Mei 1942.
mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kluang mulai tahun 1949 dan
pendidikan menengah di Sekolah Inggeris Kluang pada tahun 1955. Beliau menimba
ilmu perguruan di Brinsford Lodge, Universiti Birmingham, England pada tahun
1963. Memiliki Ijazah B.A.(Hons) dari Universiti Malaya pada tahun 1969 ,
Ijazah M.A.(Pendidikan) pada tahun 1975, M.A. (Sosiologi) pada tahun 1977 dan
Ph.D (Pendidikan) pada tahun 1979 kesemuanya dari Universiti Stanford,
California, Amerika Syarikat.
Karier
perguruan beliau bermula sebagai guru di Negeri Terengganu dan Selangor dari
tahun 1964 hingga 1969. Beliau pernah bertugas sebagai Pengetua di SMK Jalan Klang
Lama, Kuala Lumpur dari tahun 1970 hingga 1972. Seterusnya telah dilantik
menjadi Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia dan dilantik sebagai Profesor
Madya dan Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang (1983). Beliau pernah bertugas sebagai Pengarah, Penyelidikan
& Perancangan, Jabatan Perpaduan Negara (1986 - 1988) dan Timbalan Ketua
Pengarah, Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri (1993 -1994) dan Pengarah,
Institut Aminudin Baki (1989 - 1992). Setelah persaraan wajib , beliau dipilih
untuk mewakili negara sebagai Wakil Tetap/Duta Malaysia ke UNESCO (1997-2000).
Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Profesor di Institut Aminudin Baki.
Ketika ini beliau memegang jawatan Profesor di Institut Pengajian
Kepengetahuan, Kampus Kota, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Beliau
terus menabur bakti dan kerap menyertai persidangan antarabangsa sebagai wakil
negara atau kosultan pakar. Kini beliau merupakan Ahli Majlis Council of
Consultant Fellows, International Institute of Educational Planning (IIEP),
UNESCO, Paris dan Timbalan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad. Penglibatan
beliau dalam bidang pendidikan masih berterusan biar pun telah berkhidmat
selama 42 tahun. Sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pelbagai
bidang, beliau telah dianugerahkan Pingat Kesatria Mangku Negara K.M.N (1983),
Pingat Darjah Seri Melaka D.S.M (1996) dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur pada tahun 2003.