Tan
Sri Hajjah Zainon bte Munshi Sulaiman (22 Januari 1903 - 2 April 1989) atau
lebih dikenali sebagai Ibu Zain merupakan tokoh pendidik dan politik wanita
terkenal. Ibu Zain dilahirkan di Nyalas, Melaka. Ibu Zain merupakan anak ke-6
dari lapan adik beradik. Ayahnya, Munshi Sulaiman berasal dari Tanjung Pinang,
Riau. Ibu Zain bertuah kerana Munshi Sulaiman mempunyai kesedaran yang tinggi,
peri pentingnya pendidikan di kalangan anak-anaknya tidak kira lelaki mahupun
perempuan. Malah, ayahnya melanggar tradisi masyarakat Melayu ketika itu yang
melarang anak perempuan dari belajar, hatta belajar mengaji Al-Quran. Munshi
Sulaiman merupakan seorang guru agama Islam dan Bahasa Melayu sesuai dengan
gelaran Munshi yang diterimanya. Daripada beliaulah, Ibu Zain mendapat pendidikan
tidak formal.
Seorang anak kecil yang cergas
dan cerdas akal, Zainun gigih menimba ilmu. Ketika mengikut ayahnya menetap di
Melaka, beliau belajar di Methodist Girls School, Tengkera (1909 - 1912)
diikuti Tengkera School (1913 - 1915) sehingga lulus Junior Cambridge. Suatu
pencapaian yang tidak ramai mampu gapai, khususnya di kalangan anak gadis.
Lebih membanggakan Ibu Zain mampu mempertahankan akidahnya yang terdidik dari
kecil ketika ditawarkan menjadi mubaligh Kristian.
Kejayaan yang dicapainya dikongsi
pula dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk
melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis kerana ilmu
merupakan kunci yang membentuk jati diri beliau sendiri. Semuda usia 17 tahun,
Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.
Sejak itu, beliau semakin
mendapat perhatian. Pada tahun 1921, beliau berhijrah ke Muar untuk berkhidmat
di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Tahun 1924, beliau dilantik menjadi Guru
Besar sekolah yang sama. Kemudiannya, dilantik menjadi Guru Pelawat/Penyelia
bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh
negeri Johor. Di sana, beliau mengasaskan sekolah agama petang dan menjadi
penyelia kegiatan tersebut. Selain itu, sekolah tersebut juga menjadi sekolah
agama perempuan yang pertama di Johor.
Ibu Zain juga aktif dalam
persatuan. Beliau adalah antara mereka yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan
Guru-Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor. Kewibawaan beliau
menambat keyakinan ahli, untuk melantiknya sebagai Presiden pertama persatuan
itu. Beliau juga menubuh dan menyandang jawatan Yang Dipertua Persekutuan
Guru-Guru Perempuan Melayu selama 19 tahun sejak tahun 1930.
Di antara tahun 1929-1941, Ibu
Zain menghasilkan majalah untuk wanita, bergelar "Bulan Melayu".
Dengan daya juang yang tinggi, beliau merupakan salah seorang perintis UMNO dan
Ketua Kaum Ibu, UMNO (sekarang Ketua Wanita UMNO).
Ibu Zain turut aktif dalam bidang
politik. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili
parti UMNO pada tahun 1948. Berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang lain,
Ibu Zain lebih suka bercakap soal pendidikan. Pada tahun 1959, beliau dipilih
sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan.
Jasa Ibu Zain tambah bermakna
selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah
bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera
Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar
tersebut. Lebih mengejutkan, beliau mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh
sebulan sahaja.
Dalam usaha mencapai kemerdekaan
negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu
untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan
komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah
hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi
menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat. Ternyata
usaha beliau membuahkan hasil. Pada tahun yang sama 10 Mac 1963 beliau dilantik
sebagai Pengetua Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam.
Ibu Zain turut memainkan peranan
dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Beliau terlibat dalam Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu pada tahun 1956, sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 1958.
Beliau merupakan ahli politik
Perikatan/ UMNO di Malaysia. Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum
Malaysia 1959 bagi kawasan Pontian Selatan, negeri Johor (1958-1964).
Ketika itu Perdana Menteri
Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul
Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos
1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan
berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu
Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen
bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi
dan pembangkang menang 30 kerusi.
Di atas jasa dan sumbangan beliau
yang tidak terbalas itu, beliau telah diberikan beberapa penghormatan dari
dalam dan luar negara. Antaranya Pingat Sultan Ibrahim (1947), anugerah Johan
Mangku Negara (1958), pingat Lady of Myanmar dari Kerajaan Myanmar dan pingat
Tun Fatimah (1974), Tokoh Guru Kebangsaan Pertama dan Ijazah Kehormat Sarjana
Muda Sastera Universiti Malaya (1975), anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota
yang membawa gelaran Tan Sri (1979) dan MPSI memberi anugerah Suluh Budiman
(1980). Ibu Zain meninggal dunia pada 2
April 1989 di Muar akibat penyakit barah dalam perut dan dikebumikan di Makam
Mahmoodiah, Johor Bahru. Berbeza dengan kaum wanita yang sezaman dengannya,
beliau lewat mendirikan rumah tangga. Ibu Zain berkahwin dengan Encik Haji Amin
bin Sulaiman pada tahun 1934 pada usia 31 tahun. Hasil perkongsian hidup,
mereka dianugerahkan tiga cahayamata. Khalidah Adibah adalah yang paling
menonjol. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya, Adibah Amin.