Dato'
Haji Muhammad Yusof (1900-1980) adalah seorang pendidik Malaysia yang terpilih
sebagai "Tokoh Guru Kebangsaan" pada tahun 1979. Kerana menghargai
ketokohannya serta mengenang jasanya terhadap PIBG Sekolah Menengah Linggi,
sekolah tersebut telah menukarkan namanya kepada Sekolah Menengah Datuk
Muhammad Yusof pada 21 Ogos 1982.
Pendidikan
Dilahirkan
pada 17 September 1900 di Batu Kikir, Kuala Pilah, Haji Muhammad adalah adik
kepada Allahyarham Pendita Za'ba. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Melayu Batu Kikir pada tahun 1907. Pada tahun 1908, beliau berpindah ke Sekolah
Melayu Linggi apabila bapanya berpindah balik ke tempat asalnya di Kampung
Linggi.
Haji
Muhammad meneruskan pelajarannya di Kolej Melayu di Kuala Kangsar pada tahun
1909 hingga lulus Senior Cambridge. Atas dorongan R.O Winstedt, beliau
melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor dan menceburkan diri
menjadi seorang pendidik setelah tamat latihan di Maktab Melayu Melaka.
Kerjaya
Haji
Muhammad menubuhkan Persatuan Guru-Guru Melayu Selangor pada tahun 1921. Antara
jawatan penting yang pernah dipegang oleh Allahyarham ialah Penolong Nazirr
Sekolah-Sekolah Selangor (1920) dan Penolong Pengetua Maktab Perguruan Sultan
Idris, Tanjung Malim (1940). Beliau menyambung semula jawatan tersebut setelah
tamat Perang Dunia Kedua hingga bersara pada tahun 1951. Haji Muhammad terlibat
dalam Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan dari 1957 hingga 1960 dan juga pernah
menjadi pensyarah di Sekolah Bahasa Asing di Universiti Tenri di Jepun pada
tahun 1943).
Pada
tahun 1958, Haji Muhammad menjadi Setiausaha Sulit kepada Yang diPertuan Agong
pertama serta menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan. Beliau terpilih
sebagai "Tokoh Guru Kebangsaan" pada tahun 1979. Haji Muhammad
meninggal dunia pada 22 Disember 1980 di Kampung Linggi.
Walaupun
telah bersara dari jawatan, Allahyarham terus bergiat dalam masyarakat tempatan
di Linggi yang bertujuan memajukan masyarakat setempat. Selama beberapa tahun,
Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga Pengerusi PIBG Sekolah
Menengah Linggi. Kerana menghargai ketokohannya serta mengenang jasanya
terhadap sekolah ini, maka pada 21 Ogos 1982 Sekolah Menengan Linggi dengan
rasminya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Datuk Muhammad Yusof. Perasmian
tersebut telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Tan Sri Haji
Mohd. Isa bin Dato' Haji Abd. Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan. Dengan ini,
Allahyarham telah diabadikan di sekolah ini.