BANGALORE 11 Julai - Pembelajaran berterusan merupakan asas bagi
kelangsungan hidup dalam dunia kompetitif dan organisasi seperti
Institut Pengurusan Asia (AIM) memainkan peranan penting dalam
menyediakan platform itu, kata Datin Seri Rosmah Mansor.
"Asas bagi kelangsungan hidup pada hari ini ialah meninggalkan cara
pembelajaran yang lama dan ketinggalan zaman dan menggunakan kaedah baru
pembelajaran yang lebih relevan dengan persekitaran kontemporari.
"Sesetengah pihak menyifatkan ini sebagai mengubah cara berfikir,"
kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu pada
mesyuarat AIM Alumni di sini hari ini.
Rosmah, dalam rangka lawatan sehari ke Bangalore, dijadual menghadiri
dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Developing Talent for the Future"
(Membangunkan Bakat untuk Masa Depan) pada Kongres Anugerah Asia HRD
(Human Resources Development) 2012 lewat hari ini.
Turut hadir bekas Presiden Filipina Fidel V. Ramos, dan M. P. Singh
yang merupakan Pengerusi Federation of AIM Alumni Association Inc dan
Presiden Persatuan Alumni AIM India.
Rosmah berkata, teknik pada zaman dahulu mungkin tidak boleh lagi diguna pakai untuk menangani masalah pada zaman ini.
"Dalam landskap sebegitu, pembelajaran kita tidak boleh berhenti,
atau kita mungkin berisiko ketinggalan di belakang oleh rakyat kita dan
organisasi kita.
"Tanpa mengira betapa tinggi pendidikan kita, kita tidak boleh
menutup hati dan minda kita terhadap kitaran pembelajaran," katanya.
Rosmah, yang mendapat latihan di AIM di Manila pada 1984, seterusnya
berkata: "Institusi seperti AIM memberikan kepada kita sokongan untuk
kita meneruskan pembelajaran. Di AIM, kita diajar yang kita perlu
menjadi pemimpin merentas sempadan dan pengurus tatkala kita berdepan
dengan isu merentas sempadan.
"Untuk muncul sebagai bakat global dan mampu untuk beroperasi di
mana-mana bahagian di dunia, keperibadian tinggi dan kecekapan
diperlukan dalam dunia pasaran bebas kini.
"Bagi kebanyakan kita, latihan di AIM telah membuka pelbagai peluang
baru dan banyak juga daripada mereka, telah berada di tempat yang mereka
inginkan." - BERNAMA
No comments:
Post a Comment