Lebih 600 guru dilatih seluruh Malaysia
PROJEK Latihan Permata Negara (PERMATA) sudah melatih lebih 600 guru pendidikan perkembangan awal kanak-kanak berdasarkan modul kurikulum bersepadu.
Ketuanya, Prof Dr Rohani Abdullah, berkata latihan itu membabitkan guru Kemas, Jabatan Perpaduan, Taska Tempat Kerja, Taska Dalam Komuniti dan Taska Yayasan.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai kapasiti melatih 1,200 guru setahun bagi membolehkan taska diurus dengan sempurna dan memenuhi keperluan pendidikan peringkat asas.
Katanya, modul asas pendidikan termasuk kurikulum, falsafah dan tema sesuai dengan proses pertumbuhan bermula pada usia seawal enam bulan.
“Panduan yang disediakan pakar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia turut menekankan perkembangan fizikal dan mental secara menyeluruh.
“Pendidik diberi pendedahan mengenai proses pembelajaran dan pengajaran berkesan selain mengambil kira kepentingan aktiviti luar seperti bermain pasir, air dan permainan tradisional.
“Bimbingan awal ini penting supaya pendidik dapat menyesuaikan modul pendidikan dengan perkembangan setiap kanak-kanak kerana proses pembelajaran tumbesaran setiap mereka berbeza,” katanya ketika ditemui di Pusat Anak Permata Negara (PAPN) Putrajaya 2, di Putrajaya, baru-baru ini.
Walaupun mereka berpengalaman mengasuh, Rohani berkata, proses pembelajaran dan bimbingan berterusan penting supaya masing-masing bermaklumat berdasarkan perkembangan pendidikan semasa.
Beliau berkata, pihaknya menggalakkan lebih ramai guru taska di pusat penjagaan sedia ada menerima latihan dan bimbingan daripada mereka yang layak.
“Pendidik perlu cekap dan berpengetahuan kerana mereka adalah tunjang kepada usaha melahirkan generasi muda yang lebih seimbang iaitu cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM111 juta untuk projek PERMATA bagi memastikan kanak-kanak mendapat bimbingan dan pendidikan berkualiti.
Selain melatih guru sedia ada, peruntukan bertujuan membina Fasa II Kompleks sukan PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.
Sementara itu, Ahli Majlis PERMATA, Datin Radziah M Daud, berkata kanak-kanak yang mendapat pendedahan awal lebih mudah menerima ilmu sebaik memulakan proses pendidikan formal.
Beliau berkata, pendidikan asas penting kerana ia menjadi penanda aras kepada keupayaan kanak-kanak menangkap sesuatu perkara bagi melancarkan proses pembelajaran.
Katanya, kanak-kanak Di PERMATA diberi pendedahan proses pembelajaran secara penerangan, pengalaman dan penerokaan. Kaedah ini menggalakkan otak mereka berfikir secara rasional dalam melakukan sesuatu aktiviti.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment