Wanita mahu perkukuh perpaduan, Pemuda minta peranan komuniti diperluas
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mencadangkan penyertaan warga pendidik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibuka lebih luas kepada guru pelbagai kaum demi mengukuhkan perpaduan bangsa dan mewujudkan daya saing sihat dalam kalangan guru.
Wakilnya, Datuk Norhayati Omar yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, berkata jumlah guru bukan Cina di SJKC dan guru bukan India di SJKT sangat kecil sedangkan ada 1,291 SJKC dan 523 SJKT daripada keseluruhan 7,695 sekolah rendah di seluruh negara setakat Jun lalu.
“Bagaimanapun hanya 2,945 guru Melayu ditempatkan di SJKC dan SJKT di seluruh negara atau purata tidak sampai dua guru Melayu bagi setiap sekolah itu sedangkan bagi sekolah kebangsaan ada 33,707 guru bukan Melayu atau nisbahnya hampir enam orang bagi setiap sekolah,” katanya.
Sementara itu, wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling, meminta Kementerian Pelajaran diminta memperluaskan peranan komuniti setempat, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan mulai 2016, termasuk membenarkan mereka membuat tinjauan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Pemuda UMNO mencadangkan peranan komuniti, terutama PIBG dapat diperluas dengan diberi ruang meninjau proses pembelajaran anak di sekolah. Rasionalnya kita mahu anak maju dalam pencapaian dan diberi kaedah pembelajaran terbaik,” katanya membahaskan usul pendidikan dan agama.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kalabakan berkata, pemimpin PIBG terdiri daripada kalangan profesional dan berpengetahuan, sekali gus perlu diberi ruang untuk sama-sama memberi pandangan dan idea dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna.
“Mereka secara tidak langsung boleh menyumbang idea dan menghantar laporan sama ada dalam mesyuarat PIBG atau kepada pejabat pelajaran daerah dan negeri. Langkah ini sudah dilaksanakan di negara maju seperti United Kingdom dan New Zealand,” katanya.
Mohd Gasing juga meminta kerajaan memikirkan kaedah bersesuaian bagi memastikan lepasan kolej kemahiran mendapat gaji lebih setimpal berbanding masa ini, selain mengambil usaha memastikan golongan muda dapat menguasai lebih dua bahasa, termasuk bahasa Cina dan Tamil supaya lebih bernilai di pasaran kerja.
Berita Harian
Saturday, October 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment