Dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kegiatan ekonomi khasnya
dengan pendekatan model ekonomi baru Negara serta proses mengukuhkan struktur
sosial negara, sumbangan dari kumpulan pemikir untuk membantu dan menyumbang
buah fikiran dalam melestarikan program-program serta projek- projek yang dirancang serta
dilaksanakan adalah amat diperlukan. Antara sumber utama daripada kategori
inteligensia yang berpotensi untuk digemblengkan dan seterusnya boleh memainkan
peranan berkenaan secara lebih berkesan adalah kalangan para profesor di
Institusi Pengajian Tinggi.Dari jumlah seramai lebih kurang 22,500 orang
pegawai akademik di 20 Institusi Pengajian Tinggi Negara (IPTA) sekarang,
sebanyak 1,426 atau 6.3% adalah berjawatan Profesor (VK7, VK6, VK5).
Golongan para professor ini adalah mereka yang mempunyai kepakaran
di dalam bidang masing-masing. Secara kasar kumpulan profesor negara boleh
dibahagikan kepada 5 bidang kepakaran utama iaitu Sains dan Teknologi,
Perubatan dan Sains Kesihatan, Kejuruteraan dan Pembuatan, Ekonomi dan
Pengurusan dan Sains Sosial. Manakala
tahap kepakaran setiap Profesor itu adalah diiktiraf oleh sistem yang
memerlukan sesorang pensyarah melalui proses kenaikan pangkat yang memerlukan
mereka untuk membuktikan pencapaian yang terkemuka mutunya dalam bidang
masing-masing yang lazimnya akan dinilai oleh beberapa orang panel dari dalam
dan luar negara.
Setakat ini belum terdapat suatu program terancang yang boleh
menggembleng kepakaran kumpulan profesor dalam negara secara kolektif dan
berfokus kepada bidang tertentu untuk dimanfaatkan secara strategik khasnya
kearah pembangunan bangsa dan negara. Sumbangan dari kalangan profesor pada
masa yang lepas walau pun wujud biasanya adalah atas kapasiti individu profesor
itu sendiri atau dijemput sebagai pakar rujuk, perunding atau ahli penyelidik
bagi projek tertentu.
Namun demikian adalah didapati bahawa sekiranya kumpulan profesor
universiti ini dapat dikumpulkan mengikut kapakaran masing-masing serta
diaturkan pula perbincangan secara berkala sesama meraka maka ianya akan
memberi satu peluang untuk mereka memberi
sumbangan secara lebih berkesan lagi. Usaha secara kolektif di kalangan
kumpulan pakar ini dilihat mampu untuk member sumbangan berimpak tinggi dari
segi daya intelektual mahupun pengetahuan teknikal khasnya dalam era di mana
ilmu pengetahuan dan kemahiran menjadi strategi yang amat penting. Bagi tujuan
itu penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) , atau National Council of
Professors (NCP) , adalah suatu langkah terbaik untuk dilaksanakan sekarang.
Struktur organisasi Majlis Profesor Negara adalah terdiri daripada Penasihat, tiga (3)
pemimpin peringkat tertinggi iaitu Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha dan 14
ketua kluster.
Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, kumpulan ini akan diurus oleh
Sekretariat Tetap yang berpengkalan di Kementerian Pengajian Tinggi secara
sepenuh masa. Tugas utama mereka ialah untuk membantu melicinkan perjalanan
mesyuarat, koordinasi, perhubungan, pengurusan berkaitan dengan profesor dan
lali-lain lagi.
MPN diletakkan di bawah
Pejabat Menteri dimana pelaporan akan dikemukakan terus ke YB Menteri Pengajian
Tinggi selaku Penasihat MPN.Dari segi struktur
organisasi MPN,terbahagi kepada tiga:
- Executive Council yang terdiri daripada Pengerusi MPN,Naib Pengerusi MPN, Setiausaha MPN, 14 ketua kluster dan Pengurus MPN.
- Exco MPN pula terdiri daripada Pengerusi MPN,Naib Pengerusi MPN, Setiausaha MPN, 14 ketua kluster , 14 Naib pengerusi kluster, 14 setiausaha kluster dan Pengurus MPN.
- Jawatankuasa kluster. Setiap kluster mempunyai jawatankuasa sendiri yang terdiri daripada naib pengerusi,setiausaha serta ketua sub kluster.
Keahlian
Secara automatik semua profesor tempatan adalah ahli bagi MPN. Semua profesor diberi
kebebasan untuk memilih kluster
yang diminati. Terdapat 14
kluster setiap profesor boleh memilih lebih dari satu kluster. Senarai kluster
adalah seperti berikut :-
- Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan
- Ekonomi dan Pengurusan
- Politik, Keselamatan dan Hal-ehwal Antarabangsa
- Sejarah, Warisan dan Sosio-budaya
- Sains dan Matematik
- Kejuruteraan ,Teknologi dan Alam Bina
- Sumber Asli dan Alam Sekitar
- Perubatan dan Sains Kesihatan
- Industri dan Inovasi
- Pertanian dan Makanan
- Farmasi dan Sains Gunaan
- Teknologi Maklumat dan Komunikasi
- Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan
- Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam
Objektif
Secara umum,
cadangan penubuhan Majlis Profesor Negara ini adalah bagi tujuan untuk
mengumpul dan memudahkan pihak kerajaan menggembeling kepakaran akademik dan
profesional para profesor, secara kolektif, bagi tujuan membantu program
pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara.
Secara khususnya,
Majlis Profesor negara ini akan berfungsi bagi memenuhi tujuan-tujuan khusus
seperti berikut:
- untuk menyumbang input kepakaran dari segi akademik dan profesional, dalam pelbagai bidang, untuk kegunaan advokasi awam (public advocacy) khususnya dalam memperkukuh asas penggubalan dasar negara serta pelaksanaan program yang dirancang.
- untuk memberi sumbangan dalam bentuk khidmat nasihat dan pemikiran baru lagi terkini guna untuk meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa.
- untuk menjadi custodian, atau pemegang amanah, keunggulan dan integriti ilmiah serta profesional para profesor dalam negara.
- untuk memberi peluang kepada kumpulan elit keilmuan ini memberi sumbangan kepakaran masing-masing sebagai balasan kepada segala kemudahan, bantuan serta nikmat keseejahteraan yang mereka nikmati selama ini.
Fungsi
Dalam usaha untuk
mencapai objektif penubuhannya itu, Majlis Profesor Negara akan dari semasa ke
semasa melaksanakan fungsi-fungsi berikut:
1. Membantu Kegiatan Pembangunan Ilmiah
- Menggalak dan merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan Negara melalui program yang dijalankan dari semasa kesemasa.
- Mengadakan wacana dan juga seminar bagi bertukar pandangan dan pendapat masing-masing berdasarkan kepada bidang kepakaran di kalangan profesor diperingkat tempatan dan antarabangsa.
- Memupuk budaya kesarjanaan dan keintelektualan dalam negara untuk meningkatkan kemajuan minda rakyat.
- Menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan kesarjanaan dalam dunia akademik.
- Membina jaringan akademik dengan badan-badan luar negara yang mempunyai objektif yang sama.
2. Membantu Penggubalan Dasar
- Menganalisa masalah-masalah tertentu negara untuk mengenalpasti risiko dan kaedah penyelesaian yang bersesuaian, untuk mensyorkan pelbagai alternatif penyelesaian kepada pihak kerajaan.
- Sentiasa prihatin terhadap perkembangan dunia akademik yang berkait dengan keperluan negara untuk dibawa kepada perhatian kerajaan.
- Bersifat proaktif untuk mengukuh dan meningkat kelestarian setiap penggubalan dan perlaksanaan dasar-dasar negara.
3. Fungsi Advokasi Sosial
- Menjadi jambatan penghubung antara kalangan akademia negara dengan pihak kerajaan, industri dan komuniti.
- Menjadi saluran objektif penyuaraan kepentingan akar umbi kepada pihak yang berwajib dan pucuk pimpinan negara berwahanakan penyelidikan.
- Memupuk budaya ilmu dan menghormat ilmu di kalangan masyarakat umum untuk memartabatkan status kesarjanaan.
Carta Organisasi
Tageline
MAJLIS PROFESOR NEGARA
Pemikir Negara
Pemikir Negara
" MPN ialah suatu kolektif sosial yang diwujudkan pertama kali dalam sejarah negara untuk menjadi payung kepada modal insan yang sangat berharga, berkelulusan tinggi dengan nilai tambahan yang luar biasa, iaitu, para profesor.
MPN bertanggung jawab menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan untuk kebaikan negara dan rakyat berasaskan pengalaman dan ilmu pengetahuannya.
Maka setiap ahli MPN adalah ‘Pemikir Negara’ "
Kluster-kluster
1. Kluster Governans,
Perundangan dan Pengurusan Awam
Kluster governans, perundangan dan pengurusan awam (GPPa) mempunyai
peranan pentingdalam memelihara pengurusan awam yang efisyen berteraskan
prinsip governans yang baik dengan pergantungan kepada perundangan yang jelas
dan komprehensif. Kluster ini seharusnya menjadi pemangkin kepada
penambahbaikan sistem sedia ada. Melalui aktiviti penyelidikan dan wacana yang
akan dianjurkan, kluster ini akan mengenalpasti dan mempromosi amalan governans
dan pengurusan awam yang baik di samping memastikan perundangan yang wujud
dapat menyokong sepenuhnya inisiatif untuk mencapai kesejahteraan negara
bangsa. Di samping itu kluster akan mengkaji sistem penyampaian sedia ada
berlandaskan prinsip-prinsip
GPPa khususnya dalam perlaksanaan inisiatif penting seperti Bidang
Keberhasilan Negara (BKN) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
Skop kerja kluster merangkumi antaranya: menganalisis situasi GPPa
semasa; melakukan aktiviti penanda-arasan dan gap analysis; menjalankan penyelidikan
dalam bidang-bidang GPPa; memberi pandangan melalui media tentang isu-isu GPPa
terkini; menjadi pakar rujuk kepada kerajaan dalam membuat keputusan;
menganalisis hasrat dan keperluan pekerja, rakyat dan industri sebagai input
dalam penggubalan polisi dan perundangan mengenai governans dan pengurusan
awam; penganjuran wacana, bengkel, seminar dan konvensyen di pelbagai
peringkat; membuat penerbitan berkala dari hasil penyeldikan dan wacana dalam
jurnal, buku dan buletin; menjadi kumpulan intelektual yang sentiasa kreatif
dan inovatif sebagai pakar rujuk dalam bidang GPPa; berperanan sebagai
jurucakap kepada golongan pakar dan professional untuk menyampaikan maklumbalas
mengenai impak GPPa kepada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat amnya;
bertindak sebagai penganalisis dan penilai yang akan memberi input secara terus
kepada kerajaan mengenai polisi dan perancangan berkait dengan GPPa; dan
mengenalpasti dan mempromosi amalan governans yang baik di sektor kerajaan dan
swasta.
Kluster ini juga ingin memastikan bahawa inisiatif GPPa yang
dilaksanakan tidak memberi impak negatif kepada mana-mana golongan masyarakat.
Ia juga akan mengkaji peningkatan kecekapan dalam pengurusan awam dan juga
keperluan mewujudkan inisiatif terancang untuk memastikan modal insan yang
berkualiti dan berpengetahuan dengan isu-isu GPPa. Di samping itu kluster akan
mengenalpasti aspek-aspek GPPa yang boleh meningkatkan kecemerlangan
perkhidmatan dan etika kerja di sector awam dan swasta. Kluster ini seharusnya
menjadi rujukan kerajaan dalam hal-ehwal deraf perundangan baru serta pindaan
perundangan sedia ada. Seterusnya kluster seharusnya dapat membantu kementerian
dan agensi kerajaan tertentu mebuat keputusan yang bernas berlandaskan fakta
yang kukuh dalam bidang-bidang GPPa.
2. Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan
Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan mensasarkan usaha bagi
mencapai konsep murabbi dalam melestari pembangunan komuniti yang menjadi
sasaran bagi negara kita. Walaupun Malaysia sudah bergerak maju sampai ke Model
Ekonomi Baru, sosio-ekonomi rakyat masih berada dalam risiko kekal sebagai
ekonomi ‘pendapatan sederhana’. Usaha gigih perlu dilakukan ke arah
penambahbaikan signifikan bagi mengurangkan kadar jenayah dan rasuah,
mempertingkatkan tahap pendidikan, infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan
awam di bandar, dan meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah.
Semua ini perlu dilaksanakan, sebelum Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju
sepenuhnya. Pihak kerajaan, sebagai penggerak utama dalam pembangunan Malaysia,
perlu melalui proses transformasi bagi memastikan Malaysia dapat mencapai
Wawasan 2020.
Justeru, Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan mensasarkan usaha bagi memberikan perbezaan positif dalam kehidupan seharian kepada setiap satu rakyat Malaysia – daripada wanita dan kanak-kanak berasa lebih selamat di jalanan, hinggalah kepada keluarga miskin yang tinggal di luar bandar yang dapat menikmati kualiti hidup lebih baik, akses kepada infrastruktur asas dan pendidikan yang lebih baik, rakyat dapat pergi bekerja dengan lebih mudah, dan perniagaan dapat menikmati kos yang lebih rendah. Kluster ini ingin memenuhi kewajipan terpenting mentransformasikan Malaysia bagi generasi warga Malaysia yang akan datang.
Justeru, Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan mensasarkan usaha bagi memberikan perbezaan positif dalam kehidupan seharian kepada setiap satu rakyat Malaysia – daripada wanita dan kanak-kanak berasa lebih selamat di jalanan, hinggalah kepada keluarga miskin yang tinggal di luar bandar yang dapat menikmati kualiti hidup lebih baik, akses kepada infrastruktur asas dan pendidikan yang lebih baik, rakyat dapat pergi bekerja dengan lebih mudah, dan perniagaan dapat menikmati kos yang lebih rendah. Kluster ini ingin memenuhi kewajipan terpenting mentransformasikan Malaysia bagi generasi warga Malaysia yang akan datang.
Secara lebih terperinci lagi, hala tuju kluster pembangunan sosial
dan Kesejahteraan MPN adalah seperti berikut
1. Memperbanyakkan penyelidikan impirikal secara
kuantitatif dan kualitatif bagi mengenal pasti punca dan proses penghuraian
masalah dalam pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
2. Memperkasakan aktiviti perundingan antara sarjana
universiti pengajian tinggi dengan mana-mana pihak kementerian yang relevan
dengan pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.
3. Menjadi hub idea masyarakat dan pusat rujukan pakar dalam
bidang pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat samada di dalam bandar
dan luar bandar.
4. Menjadi THINK-TANK dan jawatan kuasa
perancang serta jawatan kuasa pelaksana bagi program-program kementerian
dan swasta yang berteraskan pembangunan komuniti lestari yang harmoni.
3. Kluster Ekonomi dan
Pengurusan
Pertama: Meningkatkan penyelidikan berkepentingan dasar nasional
dikalangan ahli kluster. Penyelidikan berorientasi dasar tidak semestinya
terarah kepada topik berkepentingan dasar negara. Sebahagian dari aktiviti
penyelidikan boleh dilaksanakan dengan komitmen ahli kluster supaya skopnya
meliputi topik yang berkepentingan dasar ekonomi dan kewangan semasa.
Kedua: Meningkatkan sumbangan input ahli kluster dalam penggubalan
dasar. Terdapat hasil penyelidikan ahli kluster yang membawa implikasi penting
dan boleh dijadikan input dalam penggubalan dasar. MPN boleh membuka ruang yang
lebih luas antara penggubal dasar berkaitan ekonomi dan kewangan dengan
penyelidik supaya dasar yang lebih baik dapat digubal.
Ketiga: Membuka lebih ruang penyertaan ahli kluster dan sekaligus
meningkatkan mutu perbincangan/dialog/perdebatan awam mengenai dasar semasa
4. Kluster Farmasi dan Sains Gunaan
Matlamat utama Kluster Farmasutikal dan Sains Gunaan adalah untuk
mempromosi perkembangan ilmu dalam dunia akademia bagi bidang farmaseutikal dan
sains gunaan, memperkasa kapasiti dan keupayaan intelek nasional, khususnya
dalam penyelidikan dan pembangunan yang menyokong pertumbuhan ekonomi Negara,
di samping menggalakan kumpulan-kumpulan lain berbuat sedemikian. Di samping
itu, kluster ini akan membangunkan kapasiti nasional untuk memberi khidmat penasihatan
dan perundingan kepada kerajaan dan juga sektor industri.
ORGANISASI DAN STRUKTUR
Ketua Kluster: Prof. Emeritus Dato’ Dr.V Navaratnam; USM
Timbalan Ketua Kluster: Prof. Muhamad Jantan; USM
Setiausaha Kluster: Prof. Dr. Noorsaadah Abd. Rahman; UM
Ahli-ahli teras kluster:
Prof. Emeritus Dato’.
Dr Muhammad Yahaya; UKM
Prof. Dato’. Dr.
Mohamed Isa Abd. Majid; MOSTI/USM
Prof. Dr. Norazmi
Mohd Nor; USM
Prof. Dr. Abu Bakar
Abdul Majeed; UiTM
Prof. Dr. Hajjah Samsinah
Haji Hussain; UM
Prof. Halimaton
Hamdan; UTM
Prof. Dr. Ibrahim Che
Omar; UMK
Prof. Ir. Dr. Ahmad
Fadzil Mohamad Hani UTP (dilantik)
Pelan Strategik bagi Kluster ini akan mempertimbangkan isu-isu
semasa, aspirasi dan hal-hal penting Kerajaan seperti 1Malaysia, Model Ekonomi
Baru, Program Transformasi Kerajaan dan NKRA.
Kluster ini akan menubuhkan sub-kluster – rangkaian operasi yang
akan mewujudkan kepimpinan dalam bidang akademik masing-masing melalui
penggalakan kesarjanaan dan penyelidikan inovatif, yang akan mempertingkatkan
lagi daya saing Negara di persada antarabangsa. Antara sub-kluster yang bakal
dimajukan adalah:
Sains Farmaseutikal dan
Nutraseutikal,
Nanoteknologi, dengan
tumpuan kepada bidang Nanobioteknologi, dan
Kuasa lestari, dengan
tumpuan kepada sumber tenaga alternatif.
Landasan kepada inisiatif yang bakal dijalankan oleh sub-kluster
adalah pertimbangan bagi pembangunan ekonomi dan kewangan serta model kerjasama
akademia-industri. Usaha ini memerlukan mereka mengenalpasti pemacu utama
bidang masing-masing dan menjemput penyertaan aktif semua kumpulan dari dalam
dan luar kluster, untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan status semasa,
kapasiti, keupayaan dan cabaran. Hasil analisis sedemikian dapat membuahkan
khidmat nasihat yang konkrit dalam memperkasakan NEM, meningkatkan
pengkomersialan dan memperbanyakkan bilangan IKS pada peringkat nasional.
Inisiatif ini dijangka berupaya mentransformasi/menambahbaik landskap inovasi,
pendidikan dan penyelidikan Negara.
Sub-kluster Farmaseutikal dan Nutraseutikal
Peranan awal sub-kluster ini akan tertumpu kepada pengenalpastian
dan penyelesaian isu-isu yang membolehkan Negara menghasilkan produk-produk
farmaseutikal dan bioteknologi tempatan. Matlamatnya adalah untuk menjamin
sekuriti kesihatan Negara tidak terjejas. Di samping itu, sub-kluster akan
berusaha mewujudkan mekanisme yang akan menggalakkan penggunaan kepakaran
tempatan bersama dengan industri tempatan untuk membangunkan dan memasarkan
produk-produk sedemikian di dalam dan di luar Negara. Antara isu utama yang
memerlukan perhatian adalah: (1) Mengenalpasti proses-proses yang diperlukan
untuk meningkatkan kapasiti Bahan Farmaseutikal Aktif (API) dalam Negara untuk mempertingkatkan
kepelbagaian produk dalam industri tempatan, (2) Menyokong pembangunan vaksin
dan memperkasa keupayaan perkilangan; (3) Mengenalpasti dan menstruktur
keupayaan penemuan dadah, khususnya untuk mengeksploitasi sumber asli tempatan.
Sub-kluster ini akan bekerja rapat dengan Kluster Perubatan (MPN) dan
Kementerian Kesihatan.
Sub-kluster Nanoteknologi
Semasa ini, dianggarkan sekitar 250 para saintis sedang bekerja
dalam bidang ini. Akan tetapi, usaha mereka tidak sehaluan dan
bertompok-tompok, menyebabkan hanya 6 produk telah dikenalpasti untuk
pengkomersialan, sehingga kini. Sub-kluster ini akan menumpukan usaha dengan
Direktorat Nanoteknologi MOSTI dan Malaysian Industry-Government Group for High
Technology (MIGHT) untuk mengkaji semula dan mengemaskini peta tuju yang sedia
ada. Di samping itu, ia akan menyorot semula dan mengemaskini pewujudan
piawaian dan peraturan berkaitan dengan keselamatan kesihatan dan nanoetika.
Sub-kluster Tenaga Lestari
Isu-isu yang merangkumi tenaga lestari adalah banyak dan meluas.
Fokus awal sub-kluster ini adalah bahan api bio. Ia akan mengkaji status
teknologi semasa kajian dan pembangunan bahan api bio; mengenal pasti sumber
asli yang berpotensi sebagai bahan api bio. Sub-kluster ini akan menyorot dan
menggaris pelan tindakan untuk pengilangan dan penggunaan bahan api bio untuk
menjadikannya suatu sumber tenaga alternative.
Langkah-langkah Tindakan
Sepanjang 5 bulan akan datang, Kluster ini bercadang untuk
mengadakan 1 perjumpaan untuk memurnikan hala-tuju masa depan. Di samping itu,
setiap satu daripada ketiga-tiga
sub-kluster akan mengadakan perjumpaan masing-masing untuk merangka Terma
Rujukan dan juga menetapkan pelan tindakan masa depan masing-masing.
Ketiga-tiga sub-kluster ini akan mengadakan satu dialog yang
melibatkan Akademia, Industri dan Komuniti dalam merencana isu-isu utama yang
dihadapi oleh sub-kluster. Ini termasuklah tiga yang berikut: (1) Ekonomi:
Cabaran dan Peluang Industri Bio-Farma tempatan; (2) Nano-bioteknologi: Potensi
kepada Negara; dan (3) Biofuel: Halatuju Perkembangan Industri. Bagi setiap
dialog yang diadakan, kertas posisi dijangka akan diterbitkan.
5. Kluster Sains dan Matematik
Kemajuan sesuatu negara amat bergantung kepada budaya sains serta
progres sains dan teknologinya. Oleh
kerana itu, adalah penting suatu dasar sains dan matematik dibentuk. Bagi kes Malaysia, memang terwujud suatu
Dasar Sains dan Teknologi Negara dan beberapa, tetapi bukan kesemua, strategi
yang dikenal pasti telah diimplementasikan.
Sungguhpun demikian, apabila dibanding dengan negara-negara lain,
prestasi Malaysia dalam dua aspek yang penting masih mengecewakan iaitu
bilangan penyelidik sependuduk yang rendah serta bilangan penerbitan sains dan
teknikal sepenyelidik yang rendah. Untuk
membantu menangani isu-isu tersebut, Kluster Sains dan Matematik telah mengenal
pasti yang berikut untuk dilaksanakan.
(i) Menghasilkan
kaedah-kaedah inovatif untuk menyampaikan sains dan matematik kepada pelajar
serta orang awam supaya mereka lebih sedar tentang sains dan matematik dan
seterusnya menanam budaya sains dalam kalangan masyarakat.
(ii) Menggerakkan kalangan
saintis supaya mereka lebih menjanakan pengetahuan dan inovasi yang
‘berfrontier’ (iaitu doing good science).
Untuk mengelakkan pertindihan dengan Kluster-Kluster lain, Kluster
Sains dan Matematik akan menumpu kepada bidang sains asas dan matematik. Kluster juga akan bekerjasama dengan Kluster
Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Akademi Sains Malaysia, badan-badan
profesional yang lain serta organisasi-organisasi bukan kerajaan.
6. Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar
Model kelestarian untuk pembangunan negara merangkumi pendekatan
mengintegrasi tiga aspek utama pembangunan iaitu: kesihatan alam sekitar,
kesejahteraan masyarakat dan kekayaan Negara.
Di dalam merealisasikan model ini, isu-isu pembangunan dilihat
daripada tiga perspektif iaitu: Perkhidmatan alam sekitar; Jatidiri Kebangsaan;
dan Inovasi dan Dayasaing
Model kelestarian untuk pembangunan negara ini akan memberi tumpuan
kepada isu-isu bersifat integrasi, holistik dan rentas sektor bagi mencapai
hasrat ”kelestarian masyarakat” dalam erti kata sebenar.
Skop kluster :
Mengekalkan hutan dan litupan hijau: Usaha ini perlu dilakukan bagi
memastikan alam sekitar terus memberikan perkhidmatan berkesan kepada
kesejahteraan masyarakat dan proses penjanaan kekayaan negara. Usaha ini akan
menjamin pembekalan udara dan air yang bersih untuk kehidupan dan sumber asli
sebagai asas dalam pembangunan negara secara lestari. Dalam konteks ini,
isu-isu kepelbagaian biologi, pemuliharaan warisan sumber asli dan penggunaan
sumber tidak boleh diperbaharui akan diutamakan.
Transformasi sumber tanah untuk memastikan jaminan dan keselamatan
makanan: Degradasi dan pertukaran gunatanah tanah dari tanah pertanian
berasaskan makanan ke keguanaan lain semakin berleluasa. Keadaan ini akan
menjadi kritikal di masa akan datang khususnya apabila negara berhadapan dengan
keadaan darurat dan bekalan makanan tempatan diperlukan. Dalam konteks ini,
isu-isu kesesuaian guna tanah, pertanian mesra alam dan penilaian sumber akan
diutamakan.
Pembangunan bandar, industri dan infrastruktur yang berasaskan
kelestarian: Pada masa ini isu pencemaran, kesesakan dan bencana semakin
kritikal di kawasan perbandaran. Perancangan bersepadu berasaskan pembaharuan
bandar di kawasan sesak (bermasalah) diperlukan sementara perancangan
pembangunan baru dirancang berasaskan kelestarian. Dalam konteks ini, isu-isu
perubahan iklim, bencana dan pencemaran alam sekitar akan diutamakan.
7. Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kluster ICT dibentuk dengan tujuan menyokong kerajaan dalam usaha
negara untuk mencapai status negara maju sejajar dengan matlamat wawasan 2020,
dengan menjadikan ICT sebagai pemandu utama pertumbuhan ekonomi negara dan
global. Ini adalah selari dengan aspirasi Model Baru Ekonomi (MBE) yang
berteraskan konsep berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan bagi
meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, dan
Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) yang merupakan salah satu daripada
empat tonggak transformasi negara.
Bagi
menjayakan usaha ini, pelbagai cabaran dalaman dan global perlu ditangani.
Jadi, Kluster ICT, juga berharap dapat memberi kepimpinan, khidmat nasihat dan
bekerjasama dengan kerajaan berasaskan visi yang dikongsi bersama ini bagi
mencapai kemajuan Negara: membantu kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan
inovasi ICT melalui proses laluan trasformasi pantas untuk menjadikan Malaysia
sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan; membantu menyediakan modal insan
berpengetahuan (knowledge workers) yang kreatif, inovatif dan berkemahiran abad
ke 21 melalui penubuhan Special Task Force HRD ICT Negara;menggabungkan
pembangunan ICT dalam pengubalan dasar negara bagi mempertingkatkan lagi daya
saing negara, keunggulan teknologi dan kemapanan sosial; meningkatkan
penyelidikan, inovasi dan hak cipta ICT di peringkat kebangsaan dan global dan
menggunakanya untuk penjanaan kekayaan dan memperkukuhkan industri dan komuniti
tempatan; menjadi suara utama sosial (advokasi sosial) dalam meningkatkan
peluang digital dan mempromosikan kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat
melalui penggunaan pelbagai aplikasi ICT yang
inklusif di kawasan kemiskinan
bandar, luar bandar dan pendalaman bandar untuk merapatkan jurang digital yang
wujud; membantu dalam membina sebuah masyarakat berpengetahuan yang
keterangkuman bagi menyediakan e-peluang yang sama-rata dan saksama bagi semua,
tidak kira kepelbagain kaum etnik ataupun agama, untuk mencapai kemapanan masyarakat madani yang
berpengetahuan.
8. Kluster Industri dan
Inovasi
Hala tuju yang dirangka di bawah kluster industri dan inovasi,
Majlis Profesor Negara (MPN) akan berperanan sebagai pemangkin kepada semua
inisiatif seperti yang dinyatakan dalam agenda inovasi negara. Perkara ini akan
direalisasikan melalui pembentukan polisi dan dasar yang ada hubungkait dengan
inovasi khususnya dalam sektor berkaitan industri. Polisi dan dasar yang
digubal dengan teliti dan komprehensif kelak diharap dapat memudahkan dan
menyemarakkan jaringan antara institusi terlibat iaitu universiti dan pihak
industri. Polisi dan dasar ini juga akan memastikan hubungan dua hala antara
universiti dan industri dapat dilaksanakan dengan lebih efisen, berkesan dan
sistematik. Usaha ini sangat penting bagi membangunkan keupayaan inovasi
negara dan seterusnya mencapai matalamat Ekonomi Berpandukan Inovasi.
Hala tuju kluster inovasi merangkumi tiga skop atau isu utama. Skop pertama ialah untuk menghasilkan individu yang mempunyai ciri-ciri daya kreativiti dan inovasi; berupaya untuk membuat jalinan dengan pihak industri; dan mempunyai ciri-ciri keusahawanan dalam pelbagai bidang industri. Usaha dan matalamat ini akan dicapai melalui sistem pembelajaran bersepadu yang akan digubal melalui semakan semula sepenuhnya kokurikulum pendidikan yang sedia ada.
Skop kedua pula ialah untuk menjana satu ekosistem inovasi tanpa mengira had. Penjanaan ekosistem inovasi ini mencakupi semua aspek yang ada kaitan dengan inovasi dan industri bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai daya inovasi yang tinggi. Melalui pendekatan ini matalamat untuk mengerakkan dan mewujudkan Ekonomi Berpandukan Inovasi dapat dicapai seperti yang dirancang.
Menakala skop ketiga pula bertujuan untuk meningkatkan dan menggalakkan keupayaan inovasi asli tempatan. Inovasi asli ini adalah berdasarkan ilham dan kreativiti daripada penyelidik tempatan yang akan menjadi sebagai satu sumber baru dan berpotenasi dalam menjana pendapatan utama negara. Hasil asli tempatan ini umpamanya dapat diperolehi daripada sumber asli sedia ada berdasarkan produk tropika (tropical products) yang akan dihasilkan oleh masyarakat tempatan. Penjanaan hasil asli tempatan secara komersil melalui daya kreativiti, kolaborasi, inovasi dan keusahawanan sekiranya dapat dikembangkan secara intensif dijangka dapat menyumbang kepada Ekonomi Berpandukan Inovasi.
No comments:
Post a Comment