KUALA LUMPUR 11 April - Mansuhkan bayaran
perkhidmatan satu peratus bagi Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) adalah antara perkara yang termasuk dalam resolusi
Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional anjuran Biro Institusi
Pengajian Tinggi Pemuda UMNO bersama PTPTN, di sini hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, persidangan itu
melibatkan 160 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian
tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), badan
bukan kerajaan (NGO) serta badan perwakilan pelajar dan wakil PTPTN
termasuk Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf.
Resolusi itu menggariskan empat aspek meliputi pinjaman, pembayaran,
tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan komunikasi bagi
menangani isu yang perlu diselesaikan segera iaitu pembayaran balik
PTPTN.
Khairy berkata, persidangan itu setuju supaya sistem bayaran balik
PTPTN dirombak dengan menetapkan paras gaji minimum peminjam RM3,000
sebagai pendapatan selesa untuk peminjam memulakan bayaran balik
pinjaman.
"Penambahbaikan itu perlu berlandaskan kepada tahap pendapatan yang
selesa bukannya enam bulan selepas tamat belajar kerana kadang-kadang
pelajar mendapat pekerjaan dengan gaji yang sedikit," katanya semasa
Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Persidangan Meja Bulat Mahasiswa
Nasional.
Beliau berkata, tindakan menyenarai hitam yang menyebabkan kebebasan
peminjam seperti urusan ke luar negara atau membuat pinjaman perlu
dimansuhkan dan digantikan dengan kaedah lain.
"Kita faham PTPTN terpaksa menyenarai hitam tetapi ini merupakan
langkah drastik kerana banyak rungutan diterima dan kita akan tampil
untuk membantu menjejaki peminjam yang belum menjelaskan pinjaman,"
katanya.
Selain itu, resolusi itu turut menyatakan bahawa pinjaman bagi
peminjam dari Sabah dan Sarawak untuk belajar ke Semenanjung hendaklah
meliputi harga tiket penerbangan sekurang-kurangnya dua kali setahun.
"Saya sudah maklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin untuk membincangkan perkara ini," katanya.
Khairy berkata, resolusi itu turut mencadangkan kerajaan supaya
menyalurkan dana RM100 yang diperuntukkan kepada murid-murid sekolah
terus kepada PTPTN bagi tujuan pembukaan akaun SSPN.
"Kita perlu mendidik anak-anak menabung dari kecil supaya ada
tabungan untuk sambung belajar tetapi kita perlu mempromosikan lagi SSPN
bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara ini," katanya.
Resolusi itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata 17 peratus peminjam yang gagal
menjelaskan pinjaman adalah disebabkan sikap tidak ambil peduli serta
sambil lewa mengenai perkara ini.
"Kita sedia berbincang untuk mengetahui masalah mereka dan sedia
menerima bayaran walaupun RM50 sebulan serta sedia menangguhkan sehingga
dua tahun bagi mereka yang belum mencapai tahap gaji yang selesa,"
katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment