ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan
perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah. Ada
melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih
menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan
dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan
dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi
cara masing masing.
Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?
Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti
Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr
Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu
didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara. Menurutnya,
kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan
pencapaian akademik pelajar.
“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan
hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak. Kedua-duanya hanya aliran yang
diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa. “Sama ada sains atau sastera, yang
perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki
Falsafah Pendidikan Negara. “Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan
pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh
menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.
Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan
berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain. Tanggapan
bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses
pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni. “Padahal pendidikan
bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses
pendidikan diikuti.
“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan
status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,”
katanya. Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun
mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana
kemajuan.
Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal
semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia -
mesin’. “Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting
untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.
“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun
globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan
melahirkan kemajuan. “Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada
mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu,
semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains
dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.
“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal
dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material. “Dunia moden hari ini
memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau
sastera sebagai penanda aras tertentu. “Pelajar berjaya adalah mereka yang
bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan
peluang,” katanya. Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang
bijak. Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata,
di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan
sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan
sastera.
Mengapa?
“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan
kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi. “Tidakkah
ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika
mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi
sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya. “Paling penting, mereka berjaya
merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,”
katanya.
Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan
pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas
paling utama.
Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat
berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.
“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi
carta permintaan dunia hari ini.
“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain
menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang
lain.
“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai
keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya. Walaupun dianggap
berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat
sebahagian besar pelajar memilihnya. Subjek sukar, akuinya, adalah faktor
mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah. “Jika
sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk
menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.
A“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada
kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment